Wednesday, September 4, 2013

Iraqi Airways sasar sejuta penumpang laluan Baghdad-KL



Iraqi Airways, syarikat penerbangan nasional Iraq, menyasar menerbangkan sejuta penumpang dalam tempoh setahun bagi laluan Baghdad-Kuala Lumpur. 

Ia susulan penyambungan semula operasinya ke Kuala Lumpur selepas terhenti selama 34 tahun. Pengarah Komersialnya, Kapten Badri Latif, berkata syarikat penerbangan itu menawarkan dua penerbangan seminggu bagi laluan itu pada Selasa dan Sabtu. 


Penerbangan itu akan mengambil masa lapan setengah jam menggunakan pesawat Boeing 777, katanya kepada media selepas majlis menyambut ketibaan penerbangan sulung ke Kuala Lumpur, di Sepang, semalam. 

Ada seramai 140 penumpang dalam penerbangan itu, kata Badri, sambil menambah faktor muatan bagi pesawat itu ialah 360 penumpang. 

“Bagi kami, bilangan penumpang itu menggalakkan untuk penerbangan pertama kerana kami sedar bahawa kebanyakan syarikat penerbangan lain berminat terbang ke Kuala Lumpur kerana mereka melihat Malaysia sebagai hab bagi Asia. Kami mahu merebut peluang ini,” katanya. 

Badri berkata, terdapat kira-kira 5,000 warga Iraq menetap di Malaysia dan Iraqi Airways melihat peluang itu bukan hanya daripada mereka tetapi juga peluang lain khususnya dari segi aktiviti pelancongan dan perniagaan kedua-dua negara. 
“Ada tiga syarikat Malaysia yang menjalankan projek di Iraq, satu daripadanya ialah PETRONAS,” katanya. 

BERNAMA

No comments:

Post a Comment