Friday, September 6, 2013

Lapangan minyak Garraf Petronas capai pengeluaran minyak pertama di Iraq




KUALA LUMPUR: Cabang operasi huluan Petronas di Iraq, Petronas Carigali Iraq Holding B.V., 
pada 31 Ogos memperoleh pengeluaran minyak pertamanya daripada lapangan minyak Garraf terletak di Wilayah Thi Qar Iraq. 

Petronas Carigali Iraq ialah pengendali lapangan minyak Garraf. Rakan kongsinya ialah Japan Petroleum Exploration Co Ltd dan North Oil Company, syarikat milik negara Iraq. 


"Sebagai satu daripada pelabur terbesar di Iraq, Petronas akan meneruskan usaha dan aktiviti pembangunan kami yang dirancang. Projek di Garraf menyediakan peluang untuk membangunkan keupayaan dan kepakaran kami di rantau Timur Tengah. 

"Persekitaran operasi mencabar dan kejayaan minyak pertama di lapangan minyak Garraf membantu mengukuhkan reputasi Petronas dalam industri sebagai pengendali berpengalaman dan berkeupayaan," kata Pengurus Negara Petronas Carigali Iraq Ikhlas Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini. 

Pengeluaran daripada lapangan minyak Garraf bermula pada kadar 35,000 tong minyak sehari (bpd) dan dijangka mencecah 230,000 bpd pada 2017. 

Setakat ini, 11 telaga, terdiri daripada dua telaga penilaian dan sembilan telaga pembangunan, telah digerudi dan kemudahan permukaan utama serta saluran paip juga dibina untuk menyediakan bagi kadar pengeluaran awal. 
Selain daripada lapangan minyak Garraf, Petronas Carigali juga berminat dalam lapangan minyak Halfaya Iraq yang dikendalikan oleh PetroChina serta lapangan minyak Majnoon dan Badra. 

- BERNAMA

Wednesday, September 4, 2013

Iraqi Airways sasar sejuta penumpang laluan Baghdad-KL



Iraqi Airways, syarikat penerbangan nasional Iraq, menyasar menerbangkan sejuta penumpang dalam tempoh setahun bagi laluan Baghdad-Kuala Lumpur. 

Ia susulan penyambungan semula operasinya ke Kuala Lumpur selepas terhenti selama 34 tahun. Pengarah Komersialnya, Kapten Badri Latif, berkata syarikat penerbangan itu menawarkan dua penerbangan seminggu bagi laluan itu pada Selasa dan Sabtu. 


Penerbangan itu akan mengambil masa lapan setengah jam menggunakan pesawat Boeing 777, katanya kepada media selepas majlis menyambut ketibaan penerbangan sulung ke Kuala Lumpur, di Sepang, semalam. 

Ada seramai 140 penumpang dalam penerbangan itu, kata Badri, sambil menambah faktor muatan bagi pesawat itu ialah 360 penumpang. 

“Bagi kami, bilangan penumpang itu menggalakkan untuk penerbangan pertama kerana kami sedar bahawa kebanyakan syarikat penerbangan lain berminat terbang ke Kuala Lumpur kerana mereka melihat Malaysia sebagai hab bagi Asia. Kami mahu merebut peluang ini,” katanya. 

Badri berkata, terdapat kira-kira 5,000 warga Iraq menetap di Malaysia dan Iraqi Airways melihat peluang itu bukan hanya daripada mereka tetapi juga peluang lain khususnya dari segi aktiviti pelancongan dan perniagaan kedua-dua negara. 
“Ada tiga syarikat Malaysia yang menjalankan projek di Iraq, satu daripadanya ialah PETRONAS,” katanya. 

BERNAMA